Obsidian, Second Brain: Kenapa Penting Kalau Kau Heavy Guna AI
AI makin pandai, tapi memori dia pendek dan bukan milik kau. Kenapa aku simpan konteks kerja, projek dalam Obsidian
Pagi tadi aku buat satu post kat Threads, tanya macam mana nak sync vault Obsidian antara iPhone, Android, Windows dan Linux tanpa langgan sync rasmi Obsidian.
Ada yang balas, "takde cara senang & reliable lagi so far." Ada yang suruh guna Syncthing.
Lepas tu sepanjang hari aku sibuk pindahkan vault aku keluar dari OneDrive. Hermes, agent AI aku, yang buat kerja berat. Aku tukang tengok dan tukang taip "SAH". Haha. Dan aku dah jumpa method macamana nak sync obsidian merentasi semua platform android, iphone, linux, dan window, itu aku akan terangkan dalam next post.
Apa sebenarnya Obsidian ni?
Obsidian ni aplikasi nota. Itu je, kalau nak ringkas.
Keypointnya ialah privasi, ada aplikasi nota lain yang agak baik juga, contohnya macam Notion, Google Keep, Apple Notes. Setiap nota ialah satu fail Markdown (.md) biasa dalam satu folder dalam komputer kau sendiri. Folder tu dipanggil vault.
Nak buka guna Notepad pon boleh. Esok Obsidian tutup kedai pon, nota kau masih ada. Masih boleh dibaca.
Satu lagi berita baik: pada 20 Februari 2025, Obsidian umumkan yang lesen komersial dah jadi pilihan sahaja. Maksudnya, sesiapa pon boleh guna Obsidian untuk kerja, percuma. Dalam pengumuman yang sama, mereka tegaskan tiada akaun diperlukan, tiada iklan dan tiada tracking. Data kekal dalam kawalan kau, disimpan secara lokal dalam fail Markdown. Korang kene tahu, file markdown ni kawan rapat ai, apa pon brand ai kau gunakan, markdown file ni adalah makanan dia. Malah, manusia pon mudah je baca dan ingat format, tak macam code text lain html, json dan lain-lain yang sukar difahami oleh manusia yang tiada background coding macam aku.
Yang berbayar cuma servis tambahan macam Sync dan Publish. Dan sync tu boleh je diganti dengan cara lain kalau kau rajin setup.
Second brain tu apa pulak?
Otak kita bagus untuk berfikir. Tapi teruk untuk menyimpan.
Berapa kali kau dah selesaikan satu masalah, kemudian tiga bulan lepas tu masalah sama datang balik, dan kau terpaksa cari jalan penyelesaian dari kosong?
Second brain ni idea mudah. Kau pindahkan apa yang otak tak larat ingat ke satu tempat luar yang boleh dipercayai. Nota, keputusan, kenapa kau buat sesuatu, apa yang kau dah cuba dan gagal.
Obsidian sesuai untuk ni sebab nota boleh disambung antara satu sama lain guna [[link]]. Lama-lama nota kau jadi macam jaringan, bukan timbunan.
Kenapa ia penting untuk orang yang heavy guna AI?
Aku guna AI hampir setiap hari. Untuk homelab, untuk kerja masjid, untuk coding malam-malam. Dan satu benda yang aku sedar: AI tu pandai, tapi dia tak kenal kau.
Setiap kali buka chat baru, kau kena terangkan semula siapa kau, setup kau macam mana, apa yang dah dicuba. Ada platform yang dah ada fungsi memory, tapi memori tu duduk dalam platform dia. Bukan milik kau.
Ini sebab kenapa Obsidian jadi penting:
-
Konteks kau, kau yang pegang. Hari ni aku guna Claude, kadang-kadang ChatGPT, dan Hermes dalam server. Esok-esok mungkin aku nak cuba platform ai lain, so aku dah tak perlu nak terangkan lagi panjang-panjang. Nota dalam Obsidian tak kisah semua tu. Ia ikut kau, bukan ikut vendor.
-
Markdown ni macam bahasa ibunda AI. Hampir semua model AI baca dan tulis Markdown dengan selesa. Copy paste satu nota terus ke chat, tak payah format semula.
-
Agent boleh baca dan tulis terus. Sebab vault tu cuma folder biasa, agent AI boleh diberi akses untuk baca nota dan tulis nota baru. Hermes aku guna vault Obsidian sebagai sebahagian daripada memori dia. Bila aku arahkan dia dari Discord, dia boleh rujuk apa yang dah tercatat.
-
Simpan hasil AI yang berbaloi. Bukan semua jawapan AI perlu disimpan. Tapi bila jumpa satu yang betul-betul menjadi (satu prompt, satu penerangan, satu keputusan teknikal) simpan dalam Obsidian. Lain kali tak payah tanya semula.
-
Kau pilih apa yang AI nampak. Sebab semuanya fail dalam komputer sendiri, kau yang tentukan nota mana boleh dikongsi dengan AI, dan mana yang tak.
Menarik kan?
Tapi jangan expect magic
Obsidian bukan ubat semua penyakit. Ada beberapa benda yang aku belajar:
-
Kena rajin tulis. Second brain yang kosong sama je macam takde. Tak perlu cantik, yang penting ada.
-
Jangan simpan password atau API key dalam vault. Lebih-lebih lagi kalau agent AI ada akses ke vault tu. Simpan dalam password manager atau fail
.env. -
Sync antara device bukan senang kalau tak bayar. OneDrive hanya elok untuk Windows dalam kes aku. Akhirnya aku pilih Self-hosted LiveSync dengan CouchDB dalam homelab sendiri. Itu cerita untuk post lain. Kalau kau tak nak serabut, langgan Obsidian Sync pon satu pilihan yang munasabah.
-
Buat backup. Sync bukan backup. Kalau terdelete satu folder, delete tu akan disync ke semua device dengan penuh semangat.
Macam mana nak mula?
Kalau kau baru nak cuba:
-
Download Obsidian, cipta satu vault.
-
Mula dengan satu nota harian. Tulis apa yang kau buat dan apa yang kau belajar hari tu. Kalau kau malas nak tulis any nota, kau suruh je la agent kau buat kerja.
-
Bila sebut benda yang ada nota sendiri, guna
[[nama nota]]untuk sambungkan. -
Buat satu folder untuk prompt dan jawapan AI yang berguna.
-
Jangan obses dengan susunan folder. Biar ia tumbuh sendiri.
Aku pon masih belajar. Vault aku sendiri bukannya kemas sangat.
Tapi satu benda yang pasti: makin banyak kita bergantung pada AI, makin penting kita ada tempat sendiri untuk menyimpan apa yang kita tahu. AI boleh bertukar ganti. Konteks kau tak patut hilang sekali.
Korang simpan nota kat mana sekarang? Ke takde nota langsung? Hahaa
Jumpa lagi.
Komen
Login GitHub untuk komen dan react. Komen disimpan dalam GitHub Discussions.